Sunday 4 August 2013

KAJIAN TOKOH - SYEIKH ABDUL RAUF SINGKEL

Siapakah Abdul Rauf Singkel dan apakah signifikannya kehadiran beliau di dalam sejarah Acheh? Nama lengkap beliau ialah Aminuddin Abdul Rauf bin Ali Al-Jawi Tsumal Fansuri As-Singkili (1024 H/1615 M - 1105 H/1693 M), juga lebih dikenali sebagai Tok Syeikh di Kuala atau dikenali sebagai Syiyaah Kuala (kata Pak Nurdin, ia perlu disebut ‘Syiyaah’ bukannya ‘Syiah’ seperti yang disebut-sebut orang sebelum ini. Syeikh Kuala ini merupakan seorang penulis dan seorang ulama yang mengajar di Aceh sekitar tahun 1661, pada akhir abad ke-13. Abdul Rauf atau Syeikh Kuala dilahirkan di Singkel, barat Aceh. Oleh itu dia juga dikenali sebagai Abdul Rauf Singkel.

Beliau adalah tokoh ulamak tersohor Nusantara pada kurun ke-17. Dilahirkan di Kabupaten Singkel, sebuah daerah kecil di Aceh Selatan pada tahun 1620, iaitu lebih 100 tahun selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis. Menurut riwayat masyarakat, keluarganya berasal dari Parsi atau Arabia, yang datang dan menetap di Singkel. Abdul Rauf Singkel meninggal dunia pada tahun 1693, dengan berusia 73 tahun. Ia dimakamkan di perkarangan masjid yang dibangunkannya di Kuala Aceh, desa Deyah Raya Kecamatan Kuala, sekitar 15 KM dari Banda Aceh. Beliau juga digelar "Tengku Syiyaah Kuala". Sebagai mengenang jasa & menghormati peribadi beliau, sebuah universiti di Banda Aceh telah dinamakan sempena nama beliau iaitu Universitas Syiah (Syiyaah) Kuala. "Syiah" (disebut "Syiyaah" atau "Syah") adalah seorang Syeikh di dalam loghat Acheh. Ia tiada kaitan langsung dengan fahaman Syi'ah.

Syeikh untuk Tariqat Syattariyah Ahmad al-Qusyasyi merupakan salah seorang gurunya. Nama Abdul Rauf muncul dalam salasilah tariqat dan ia menjadi orang pertama yang memperkenalkan Syattariyah di Indonesia. Namanya juga dihubungkan dengan terjemahan dan tafsir Al-Quran bahasa Melayu atas karya Al-Baidhawi berjudul Anwar at-Tanzil Wa Asrar at-Ta'wil, yang pertama kali diterbitkan di Istanbul pada tahun 1884.

Kedudukan Abdul Rauf Singkel sebagai pemimpin Tariqat Syattariyah melalui panduan dan ajaran gurunya Syeikh Ahmad Qusyasyi, membolehkan beliau mengembangkan gagasan-gagasan keagamaannya sendiri sehingga ke Tanah Melayu melalui tariqat ini. Adapun muridnya yang turut bertanggungjawab dalam menyebarkan gagasan ini ialah Syeikh Abdul Muhyi setelah beliau pulang ke kampungnya di Jawa Barat. Malah usaha beliau menyebarkan ajaran tariqat  berkenaan sangat meluas hingga ke Jawa Tengah dan Jawa Timur, penyebaran tariqat ini begitu cepat berkembang dan pengajarannya bukan sahaja subur di  kalangan rakyat jelata, bahkan ianya mendapat tempat  di kalangan pembesar dan pemerintah.

          Selain daripada Tariqat Syattariyah yang tersebar luas di Nusantara terutamanya di Aceh, terdapat berbagai-bagai aliran tasawuf lagi seperti Tariqat Naqsyabandiyah, Qadariyah, Syaziliyah  dan lain-lain. Antara tokoh-tokoh ulama tasawuf yang terkenal di Aceh selain daripada Abdul Rauf Singkel ialah Hamzah al-Fansuri, Syamsuddin al-Sumatrani, Syeikh Ibrahim al-Syami, Nuruddin al-Raniri, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani. Sekalipun terdapat pertentangan antara dua kumpulah Tariqat Tasawuf di Aceh, iaitu antara golongan Hamzah al-Fansuri dan Syamsuddin al-Sumatrani yang berpegang kepada konsep  Wahdat al-Wujud dengan golongan Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf Singkel yang berpegang kepada konsep Wahdat al-Shuhud. Namun demikian, melalui saluran ini didapati amat berkesan sekali dalam penyebaran Islam, kerana tokoh-tokoh tersebut bukan sahaja kuat mempertahankan fahaman dan aliran masing-masing, malah mereka adalah terdiri daripada golongan ulama yang bertaqwa dan berakhlak  mulia yang boleh dicontohi.

Melihat kepada kedudukan Syeikh Abdul Rauf Singkel dalam Kerajaan Aceh dan ditambah pula dengan suasana seperti ini, tidak menghairankan jika gagasan-gagasan pembaharuan Syeikh Abdul Rauf Singkel yang dibawa oleh muridnya Abdul Muhyi kemudiannya dapat mengatasi tarikat tasawuf berbau mistik yang dibawa oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri. Begitu juga dengan kejayaan seorang lagi murid Syeikh Abdul Rauf Singkel yang terkenal iaitu Syeikh Burhanuddin dari Minangkabau. Menjelang akhir abad ke-17 M beliau telah kembali ke kampungnya Ulakan di wilayah pesisir Pariaman.

Beliau adalah pemimpin  Tariqat Syattariyah  ini yang dikenali dengan nama Tuanku Ulakan dan telah mendirikan suraunya sendiri, sebagai pusat aktiviti dalam proses pelaksanaan dan pengamalan ajaran-ajarannya. Sepanjang hidupnya Syeikh Burhanuddin dianggap sebagai tokoh tunggal dalam masalah-masalah keagamaan di Minangkabau.  Sebenarnya perkembangan tariqat tasawuf hanya dikesan dengan lebih ketara mulai abad ke-17 M, antara tariqat yang berkembang pada abad itu ialah  Tariqat Syattariyah  yang diperkenalkan oleh Abdul Rauf Singkel. Beliau telah menyebarkan tariqat   ini bersama-sama dengan gurunya Syeikh Ibrahim al-Kurani yang diterima daripada Syeikh Ahmad al-Sanawi.  Syeikh Abdul Rauf Singkel juga telah membuka sebuah pusat pengajarannya di Aceh pada tahun 1661 M, di samping penubuhannya di  Ulakan, Minangkabau yang ada hubungan dengan usaha muridnya Syeikh Burhanuddin, seperti juga di Jawa Barat di mana ilmunya turut berkembang melalui muridnya Syeikh Abdul Muhyi.

Pemikiran keagamaan yang diperkenalkan melalui  Tariqat Syattariyah  oleh Abdul Rauf Singkel ini, banyak membantu dalam menyelesaikan konflik keagamaan dan intelektual yang terjadi di Aceh. Sepertimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa terjadi pertembungan yang sengit antara para pengikut Tasawuf Wujudiyah pimpinan Hamzah al-Fansuri dan Syamsuddin al-Sumaterani, dengan para pengikut Tasawuf Shuhudiyah pimpinan Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf Singkel. Dalam pertelagahan ini, Nuruddin al-Raniri yang mendapat sokongan pihak pemerintah Aceh pada masa itu, telah menuduh Hamzah al-Fansuri dan pengikut Wujudiyah sebagai sesat, menyimpang, bahkan mempercayai banyak tuhan, kerana itulah mereka semua mesti dihukum mati sekiranya mereka tidak bertaubat.

Berikutan dengan konflik yang sangat dahsyat itu, sehingga mengakibatkan berlakunya pembakaran seluruh karangan Hamzah al-Fansuri, terutama tentang Wujudiyah  yang dianggap sebagai khazanah keilmuan yang sangat berharga, malah diikuti dengan pemburuan dan pembunuhan ramai para pengikutnya. Konflik keagamaan seperti inilah yang dihadapi oleh masyarakat dan pihak berkuasa, menyebabkan keadaan tersebut memerlukan kepada tokoh yang berwibawa untuk menanganinya. Menerusi perkembangan ilmu tasawufyang wujud pada masa itu dengan tokoh-tokoh ulama seperti Syeikh Hamzah al-Fansuri, Syamsuddin al-Sumatrani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Syeikh Abdul Rauf Singkel serta lain-lain, telah menjadikan fenomena tersebut turut berpengaruh dan merebak hingga keluar daripada wilayah Aceh. Kehadiran Syeikh Abdul Rauf Singkel tidak syak lagi memberikan harapan baru bagi pihak berkuasa Aceh untuk keluar dari kemelut konflik keagamaan antara dua doktrin tersebut.

Kemampuan Syeikh Abdul Rauf Singkel dalam menyelesaikan masalah berkenaan, telah dimuatkan dalam karya-karya beliau samada yang ditulis dalam Bahasa Melayu seperti: Daqaiq al-Huruf, atau yang ditulis dalam Bahasa Arab seperti: Tanbih al-Mashyi yang berbentuk prosa ataupun puisi. Terdapat semacam interpretasi terhadap ajaran tersebut di samping sikap hati-hatinya dalam memberi penjelasan mengenainya. Sebagai contoh apa yang dikutip daripada puisi Syeikh Abdul Rauf Singkel dalam salah satu karyanya iaitu Syair Ma’rifat  ketika menjelaskan maksud “Man ‘Arafa Nafsahu Faqad ‘Arafa Rabbahu” (Barang siapa mengenal dirinya dia akan mengenal Tuhannya). Antara lain ungkapannya:

          Jika tuan menuntut ilmu,
         Ketahui dahulu keadaanmu,
         Man ‘arafa nafsahu kenal dirimu,
         Faqad ‘arafa Rabbahu kenal Tuhanmu.
         Kenal dirimu muhaddath semata,
         Kenal Tuhanmu Qadim ZatNya,
         Tiada bersamaan itu keduanya,
         Tiada semithal seumpamanya.

Untuk mengetahui ketelitian dan sikap hati-hati Syeikh Abdul Rauf Singkel dalam syair di atas, bolehlah dibandingkan dengan puisi yang ditulis oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri, sepertimana dalam ungkapannya:

Sabda Rasul Allah: Man ‘arafa nafsahu,
 Bahawasanya mengenal akan Rabbahu,
Jika sungguh engkau ‘abdahu,
Jangan kau cari illa wajhahu,
Wajah Allah itulah yang asal kata,
Pada wajahmu lengkap sekelian rata….

Dengan membandingkan kedua-dua bentuk puisi berkenaan, kita dapat memahami bahawa Syeikh Abdul Rauf Singkel lebih jelas dalam menyatakan sifat kekal (Qadim) Tuhan dan sifat baru (Muhaddath) makhluk manusia, ia menjelaskan adanya perbezaan mutlak antara dua tokoh ulama berkenaan. Manakala Syeikh Hamzah al-Fansuri telah menyifatkan Tuhan sebagai:
Pada wujudMu lengkap sekalian rata dan ZahirNya nyata dengan rupa insan, sekalipun beliau tidak mengabaikan sama sekali aspek penempatanNya dengan menyatakan:  Tuhan kita itu tiada bermakan (bertempat).

Sikap berhati-hari dan ketelitian Syeikh Abdul Rauf Singkel jelas kelihatan, dalam usahanya mengurangkan kesamaran dan kesan ekstrim ajaran tasawuf ini yang ditujukan kepada para pengikut Wujudiyah. Di samping itu, beliau juga cuba mengingatkan kepada Syeikh Nuruddin al-Raniri supaya berhati-hati dalam menuduh kafir dan sesat terhadap orang lain. Namun demikian, apa yang menarik mengenai Syeikh Abdul Rauf Singkel ini ialah, dalam semua karangannya tidak ditemui satu ungkapan yang menyebut nama mereka secara tepat dan jelas


Namun demikian, apa yang menarik mengenai Syeikh Abdul Rauf Singkel ini ialah, dalam semua karangannya tidak ditemui satu ungkapan yang menyebut nama mereka secara tepat dan jelas.

1 comment: