Friday 2 August 2013

LAPORAN AKTIVITI XPDC GRUP IBN BATTUTAH DI BANDA ACEH

06 Januari 2013 (Ahad)

Kami melakukan aktiviti pagi pada hari ini dengan melakukan sedikit aktiviti riadah untuk mencergaskan badan. Atas permintaan anak-anak pesantren,kami melakukan gaya katak kembung dan katak kempis serta siput selepas waktu riadah.  Kami membuat aktiviti tersebut untuk menggembirakan mereka. Aktiviti seterusnya yang akan kami lakukan ialah mencipta misi, visi dan motto kumpulan. Setiap kumpulan akan mencipta misi,visi dan motto kumpulan. Aktiviti tersebut diberikan selama setengah jam. Kemudian setiap wakil kumpulan hendaklah membentangkan perkara yang telah dibincangkan di hadapan untuk dijelaskan dengan lebih lanjut.

Kami menangguhkan program tersebut pada jam 11.00 pagi untuk memberi mereka rehat serta persiapan untuk bersolat.Pada sebelah petang, kami bercadang untuk melakukan malam kebudayaan untuk malam nanti. Petang itu, kami meminta mereka berlatih untuk malam kebudayaan nanti. Kami menyatakan malam tersebut mereka perlu menunjukkan tarian adat negeri masing-masing kerana Aceh mempunyai pelbagai kaum dan adat. Kami memberi masa sehingga jam 6.30 petang untuk membuat latihan dan berkumpul di rumah adat pada jam 8.30 malam nanti.

Malam yang dinanti-nantikan telah tiba, pada malam tersebut mereka telah mempersembahkan persembahan mereka seperti nasyid, tarian adat dan banyak lagi. Mereka bersemangat dan seronok. Kami tidak menjangka adik-adik pesantren ini akan mempersembahkan begitu banyak jenis tarian kaum-kaum yang terdapat di sini. Persembahan berjalan selama 1 jam 30 minit.

Manakala di pesantren sebelah relawan lelaki pula, relawan meneruskan program khidmat pendidikan di Pesantren ini. Seawal 9.00 pagi ini kami mulakan dengan aktiviti renggangan badan seterusnya aktiviti “Lai Chi Kang Semangkuk 2 Kupang”. Aktiviti ini memerlukan mereka menyanyi lagu “Lai Chi Kang Semangkuk 2 Kupang” ini sambil menari. Adik-adik di Pesantren terhibur dengan permainan ini.

Untuk sebelah petang pula kami lakukan melakukan aktiviti “Ikatan Tangan” iaitu dua orang pelajar diikat tangannya secara bersilang dan mereka perlu cari jalan penyelesaian bagaimana untuk memisahkan tali yang bersilang itu tanpa memutuskannya. Aktiviti ini agak sukar sedikit sehingga tiada seorang pun yang berjaya menguraikannya. Akhirnya kami menunjukkan cara bagaimana hendak menghuraikannya, dan mereka juga berjaya menghuraikannya. Selepas itu kami membuat kelas bahasa Inggeris pula. Pelajar-pelajar itu perlu menulis nama, tempat tinggal, hobi, cita-cita dan makanan kegemaran mereka di dalam bahasa Inggeris. Pengajaran bahasa Inggeris ini ditangguhkan untuk petang ini kerana sudah masuk waktu solat asar dan akan bersambung pada malam nanti.

Selepas solat isya’ kami sambung pengjaran bahasa Inggeris itu. Kali ini kami mengajar dengan memulakan mukadimah seperti “good morning”, “good afternoon”, “good evening”, dan “good night”. Selepas itu setiap pelajar di kehendaki memperkenalkan diri dengan menggunakan bahasa Inggeris. Adik-adik di sini memang lemah dalam bahasa Inggeris dari segi bahasa, sebutan dan ejaan. Kami menghadapi sedikit masalah ketika hendak mengajar mereka mengeja dalam bahasa Inggeris kerana sebutan huruf rumi mereka berbeza dengan sebutan huruf di Malaysia. Sebutan mereka itu mengikut sebutan huruf jawi, contohnya hurup ‘H’ mereka sebutannya ‘kha’, dan ‘I’ di sebut ‘e’. Jadi penyelesaiannya kami tidak menyebut huruf itu, sebaliknya,  kami menulis.

Selesai aktiviti untuk malam ini, kami membuat rutin seperti biasa iaitu postmoterm. Kami membuat postmoterm di rumah Abang Faisal. 

No comments:

Post a Comment