Friday 2 August 2013

LAPORAN AKTIVITI XPDC GRUP IBN BATTUTAH DI BANDA ACEH

08 Januari 2013 (Selasa)

Kami bertolak ke Banda Aceh dengan menaiki sebuah van yang di sewa dari Pesantren Mariam. Sebuah van ini boleh memuatkan seramai 14 orang dan ia sudah cukup untuk kami. Van ini dipandu oleh seorang pengajar dari Pesantren Mariam dan beliaulah yang akan menjadi supir dan di temani oleh Pak Abra iaitu pengawas di Pesantren Ar-Rabwah ini. Dan relawan perempuan juga di temani oleh seorang pelajar perempuan dari Pesantren ini iaitu Saudari Lanni. Kami bertolak ke Banda Aceh pada jam 07.30 pagi. Perjalanan mengambil masa lebih kurang hanya 30 minit untuk sampai di Banda Aceh. Destinasi persinggahan pertama kami adalah Masjid Raya Baiturrahman di Pusat Kota Banda Aceh. Masjid dahulu pertama kalinya dibina oleh Sultan Iskandar Muda pada tahun 1612. Namun pada tahun 1873, masjid itu telah dibakar oleh tentera Belanda iaitu Major Khohler dan pada ketika itu juga Major Khohler telah terbunuh setelah ditembak sehinggakan telah dibina sebuah monumen kecil memperingati kematian kekejaman Mejar Khohler membakar masjid itu di bawah sebuah pokok besar di kiri masjid. Yang mana pada masa itu, masjid ini menjadi markas pertahanan rakyat Aceh ketika berperang dengan Belanda. Pada tahun 1877 selepas itu, Janeral Vander sebagai gabenor Aceh pada ketika itu berjanji akan membangunkan semula masjid yang dibakar itu di tapak sebenarnya. Dan akhirnya pada tahun 1882, Masjid Raya Baiturrahman siap dibangunkan semula dengan memiliki hanya sebuah kubah. Selepas itu, pada tahun 1935, masjid ini diperluas bahagian kanan dan kirinya dengan penambahan 2 buah kubah lagi. Dan kini Masjid Raya Baiturrahman telah mempunyai 5 kubah dan 1 buah menara masjid tunggal di hadapan masjid itu. Waktu gempa bumi dan Tsunami pada 24 Disember 2004 yang menghancurkan sebahagian Aceh, masjid ini selamat tanpa sebarang kerosakan dan ramai orang yang terselamat sewaktu berlindung didalam masjid ini. Sehingga sekarang masjid ini menjadi masjid kebanggaan rakyat Aceh.

Kemudian pada jam 9.00 pagi kami bergerak ke Muzium Aceh pula. Perjalanan hanya 10 minit saja dari Masjid Raya Baiturrahman itu. Di Muzium Aceh ini kami membuat perjumpaan dengan Pak Nurdin iaitu Kepala Muzium Aceh ini di dalam pejabatnya. Dalam perjumpaan ini, kami bertanyakan berbagai soalan seperti mengenai Hamzah al-Fansury, Syeikh Kuala, Nuruddin ar-Raniri, Aceh Darussalam dan macam-macam lagi. Pak Nurdin juga menceritakan mengenai Kerajaan Perlak. Bagi beliau, Kerajaan Perlak itu sememangnya tidak wujud. Prinsip beliau adalah “No Arkiologi, No History”.Perjumpaan ini berjalan selama satu jam setengah. Kemudian kami melawat Rumah Adat Aceh, di dalam rumah ini terdapat barang-barang orang Aceh seperti dapur orang Aceh, tembikar dan lain-lain. Selepas itu kami pergi ke makam Sultan Iskandar Muda yang terletak bersebelahan Muzium Aceh. Sultan Iskandar Muda merupakan sultan Aceh yang ke-12 selepas kemangkatan Sultan Alaidin Riayat Syah Saidil Mukammil. Beliau diangkat menjadi sultan semasa usia beliau dalam lingkungan 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun dari 1606 hingga 1636. Semasa pemerintahan beliaulah zaman keemasan Aceh dan beliau telah membawa kerajaan Aceh Darussalam ke atas puncak kejayaan sehingga mencapai peringkat ke lima diantara kerajaan Islam terbesar dunia. Beliau juga berjaya menyatukan  seluruh Tanah Melayu dan sebahagian Sumatera dibawah panji kebesaran kerajaan Aceh. Sultan Iskandar Muda digelar Mahkota Alam kerana keberanian beliau dalam menegakkan kebenaran. Beliau wafat pada 29 Disember 1636.

Kemudian kami bergerak ke makam Sultan Ali Mughayat Syah di Kompleks Makam Kandang XII. Untuk ke Kompleks Makam itu kami berjalan kaki sahaja, kerana ia lebih kurang 200M dari Muzium Aceh. Di Kompleks ini dimakamkan seramai 12 orang sultan yang pernah memerintah Aceh. Antara tumpuan kami adalah Sultan Ali Mughayat Syah. Beliau merupakan pembangun serta sultan pertama Kerajaan Aceh Darussalam. Beliau diangkat menjadi sultan pertama Aceh pada tahun 1514. Beliau memerintah selama lebih kurang 16 tahun iaitu sehingga tahun 1530. Selain makam Ali Mughayat Syah, juga terdapat makam Sultan Salahuddin (1530-1537), Sultan Ali Riayat Syah (1537-1568), Sultan Husain Syah (1568-1575), dan Malikul Adil (1641-1676). Mereka semua ini adalah pemerintah Aceh Darussalam.

Selepas selesai di Kompleks Makam Kandang XII itu kami bergerak ke Taman Sari Gunongan pula. Untuk ke Gunongan itu hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit sahaja. Kami tiba di Gunongan pada jam 12.00 tengahari. Gunongan ini terletak berhadapan dengan kuburan Belanda. Gunongan ini adalah bukti cinta Sultan Iskandar Muda kepada isterinya yang berasal dari Negeri Pahang iaitu Puteri Phang. Kisahnya adalah Puteri Phang selalu bersedih kerana sangat merindui kampung halamannya yang berbukit-bukit, jadi Sultan Iskandar Muda membina Gunongan ini demi cintanya terhadap isteri.  Taman Sari Gunungan mempunyai 2 bahagian dimana bahagian pertama itu adalah untuk beliau berjemur dan bahagian yang kedua lagi untuk beliau bermain-main.

Selepas solat Zohor, kami bertolak ke Kapal PLTD Apung di Wilayah Gampong Punge Blang Cut Kota, Banda Aceh. Kapal ini adalah kesan daripada ombak Tsunami yang telah membawa kapal sebesar ini ke daratan. Kapal ini di biarkan disini supaya menjadi peringatan peristiwa Tsunami. Di situ juga terdapat sebuah monument mengenai kapal ini serta sebuah jam yang menunjukkan tarikh, hari, dan waktu tsunami melanda iaitu 26 Disember 2004, hari ahad, jam 07.55 pagi.Di batu monument itu juga terdapat nama-nama orang yang terkorban semasa Tsunami melanda.

Kemudian kami bergerak ke pejabat PKPMI (Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia) Cawangan Aceh di Kecamatan Syiah Kuala, Banda Aceh. Di sana kami membuat perjumpaan dan sesi soal jawab dengan pelajar-pelajar yang belajar di Indonesia ini. Kebanyakan dari mereka adalah penuntut di Universiti Ar-Raniry, Banda Aceh. Menurut Timbalan Yang Dipertua, saudara Abdullah Hakimi bin Zainal Abidin, PKPMI telah ditubuhkan pada 25 Disember 1986. Fungsi utama PKPMI ini adalah untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Indonesia. PKPMI pusat terletak di Jakarta. Kebanyakan ahli-ahli PKPMI cabang Aceh ini adalah dari jurusan Tarbiyah.

Pada jam 05.00 petang kami bergerak ke Lampulo lokasi Kapal di atas Rumah dan juga perjumpaan bersama ahli MAPESA (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh) iaitu saudara Mujibur Rizal yang salah seorang mangsa yang terselamat dari Tsunami. Kapal yang berada diatas rumah ini adalah kapal yang telah di bawa ombak Tsunami dan dengan kapal itulah lebih kurang 50 orang terselamat dari menjadi mangsa tsunami, salah seorangnya adalah saudara Mujibur Rizal sekeluarga. Kapal itu sudah di beli oleh kerajaan Indonesia untuk menjadi salah satu bukti peninggalan bencana Tsunami. Semasa berada di dalam rumah saudara Mujibur Rizal itu, beliau sempat bercerita mengenai pengalaman beliau ketika tsunami melanda ke kawasan rumah beliau. Menurut beliau lagi, kebanyakan barang didalam rumah beliau itu adalah bekas-bekas dari tsunami itu. Ada juga sebuah jam yang menunjukkan saat air laut masuk  ke dalam rumah beliau. Tidak hanya kami saja yang berjumpa dengan MAPESA ketika ini, tetapi ada juga persatuan KPESN (Komunitas Pencinta Ekspedisi Sejarah Nanggroe) dari Universiti Syiah Kuala, Jurusan Sejarah. Persatuan itu juga seperti persatuan GPTD, tetapi fokus meraka hanya pada sejarah Aceh sendiri. Menurut salah seorang dari mereka, mereka juga telah pergi banyak tempat seperti Makam Malikul Salleh, Masjid Indrapuri dan banyak lagi kawasan bersejarah di Aceh. Kami sempat menceritakan perjalanan kami dari Medan sehingga ke Banda Aceh ini dan tempat-tempat yang telah kami kunjungi. Begitu juga dengan mereka.


Pada jam 06.30 malam, kami semua pulang ke Pesantren. Kemudian membuat postmoterm mengenai perjalanan pada hari ini serta perbincangan mengenai perjalanan pada esok hari.






No comments:

Post a Comment