Sunday 4 August 2013

KAJIAN TUMPUAN : TARIQAT NAKSYABANDIYYAH


Seperti yang kita ketahui, jumlah tariqat sangat banyak. Namun, Tariqat yang memiliki pengikut yang cukup ramai sehingga tersebar luas di dalam banyak Negara di seluruh dunia termasuk Indonesia ada 7 Tariqat iaitu Tariqat Naksyabandiyah, Tariqat Qadriyah, Tariqat Rafa’iyyah, Tariqat Sammaniyah, Tariqat Syaziliyah, Tariqat Tijaniyyah dan Tariqat Khalawatiyah. Dalam banyak-banyak tariqat yang ada disini, saya terpanggil untuk mengkaji serba sedikit mengenai tariqat Naksyabandiyah.
Pengasas Tariqat Naksyabandiyah ialah Muhammad bin Baha’uddin Al-Huwaisi Al-Bukhari 717-791 H. Beliau merupakan Ulama sufi yang lahir di desa Hinduwan (kini di namakan Arifan) dan terletak beberapa kilometer dari Bukhara. Kerana beliau ahli dalam memberikan gambaran kehidupan yang ghaib, pengasas Tariqat Naksyabandiyah ini turut dikenali dengan nama Naksyabandi yang bermaksud lukisan. Ada juga yang mengatakan Uwais yang terletak pada sebaris namanya ada hubungannya dengan Uwais al-Qarni, seterusnya mendapat pendidikan kerohanian dari wali besar Abdul Khalik Al-Khujdawani yang juga merupakan murid kepada Uwais dan menimba ilmu Tasawuf kepada ulama yang ternama waktu itu, iaitu Muhammad Baba Al-Sammasi.
Tariqat Naksyabandiyah ini juga mengajarkan zikir-zikir yang sangat sederhana, namun lebih mengutamakan zikir dalam hati daripada zikir dengan menggunakan lisan. Terdapat enam dasar yang dipakai sebagai pegangan untuk mencapai tujuan dalam Tariqat ini iaitu Taubat, Uzla iaitu mengasingkan diri dari masyarakat ramai yang dianggapnya telah mengingkari ajaran-ajaran Allah dan beragama kemaksiatan, kerana ia tidak mampu memperbaikinya, Zuhud iaitu memanfaatkan dunia untuk keperluan hidup seadanya, taqwa, Qanaah iaitu menerima dengan senang hati segala sesuatu yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan yang terakhir adalah Taslim iaitu Kepatuhan batiniah akan keyakinan qalbu hanya pada Allah.

Hukum yang dijadikan pegangan dalam Tarekat Naksyabandiyah ini juga ada enam, antaranya adalah zikir, meninggalkan hawa nafsu, meninggalkan kesenangan duniawi, melaksanakan segenap ajaran agama dengan sungguh-sungguhnya, sentiasa berbuat baik (ihsan) kepada makhluk Allah SWT dan yang terakhir adalah mengerjakan amal kebaikan. Walau bagaimanapun, pengamal tariqat harus berwaspada dengan tariqat tanpa guru-guru yang soheh. Segala kekurangan kebaikan datang dari Allah SWT dan segala keburukan itu datang dari diri saya sendiri. Syukran, jazakumullahu khairan kathira wa ilalliqa’.

No comments:

Post a Comment