Friday 2 August 2013

LAPORAN AKTIVITI XPDC GRUP IBN BATTUTAH DI LHOKSAMAWE

04 Januari 2013 (Jumaat)

Hari ini adalah hari terakhir relawan-relawan Ibn Battutah berada di Lhokseumawe dan akan bertolak ke Pesantren Ar-Rabwah, Banda Aceh. Justeru, kesepakatan yang telah dipersetujui oleh relawan Ibn Battutah dengan mahasiswa HMI Cabang Lhokseumawe juga ditandatangani pada hari ini. Memorandum of Understanding (MOU) ditandatangani oleh pengarah XPDC Ibn Battutah iaitu saudara Safarudin. Manakala wakil mahasiswa HMI pula ditandatangani oleh YDP HMI iaitu Saudara Muhammad Nasrullah.Setelah menandatangani MOU ini, kami susuli dengan pemberian cenderahati 2 buah buku dari pihak GPTD iaitu buku Islam dan Melayu dan juga buku 5 Dasawarsa PKPIM. Dengan menandatangani MOU ini, maka terjalinlah hubungan kerjasama antara GPTD Malaysia dengan HMI cabang Lhokseumawe Indonesia.

Selesai saja urusan di Lhokseumawe, relawan Ibn Battutah pun meneruskan perjalanan menuju ke Banda Aceh dengan menaiki dua buah kereta yang dipandu oleh mahasiswa HMI Cabang Lhokseumawe. Dalam perjalanan menuju ke Banda Aceh, relawan Ibn Battutah mengambil kesempatan masa yang ada untuk singgah ke makam Putroe Neng yang terletak di Desa Blang Pulo, Lhokseumawe. Menurut lagenda, Putroe Neng telah berkahwin sebanyak 100 kali dan 99 orang suaminya meninggal pada malam pertama bersama Putroe Neng. Menurut lagenda, tubuh badan Putroe Neng mempunyai bisa/racun yang menyebabkan suami-suaminya mati pada malam pertama bersama Putroe Neng. Hanya suami Putroe Neng yang ke-100 sahaja yang berjaya membuang bisa/racun daripada tubuh badan Putroe Neng. Makam suaminya yang ke 100 iaitu Syed Hudam terletak tidak jauh daripada makam Putroe Neng.

Destinasi prsinggahan kami yang seterusnya adalah Makam Syuhada 44. Perjalanan menuju ke Makam Syuhada 4 4 ini cukup mencabar dimana relawan-relawan Ibn Battutah perlu melalui jalan yang sempit serta berlumpur. Ekonomi utama penduduk di sekitar kampung berdekatan adalah penanaman padi.  Makam Syudaha 44 ini merupakan makam ulama-ulama Aceh yang mati syahid ketika menentang tentera Jepun ketika penjajahan Jepun di Aceh pada tahun 1942. Di beri nama makam Syuhada 44 kerana bilangan ulama-ulama yang mati syahid adalah seramai 44 orang.

Seterusnya perjalanan diteruskan lagi menuju ke makam Syuhada 8 yang terletak di Junieb juga. Makam ini terletak berhampiran dengan daerah Samarlanga. Untuk sampai ke makam ini, kami melalui perjalanan selama 30 minit dari makam Syuhada 44 tadi. Kami tiba di sini pada jam 12.18 tengahari. Makam Syuhada 8 ini betul-betul terletak di tepi jalan dan berhadapan dengan Musallah Syahid Lapan. Makam Syuhada 8 ini terletak didalam rumah berwarna jingga dan sebelah makam ini terdapat sebuah pokok yang amat besar dimana menurut penduduk di sini, pokok ini akan mengembang pada waktu malam dan mengecut pada waktu siang. Sejarah syuhada 8 ini adalah seramai 8 orang ulama yang telah syahid melawan tentera Belanda pada tahun 1902 dan telah dicincang oleh tentera Belanda itu sendiri sehingga di makamkan kelapan-lapannya ke dalam satu lubang kubur. Di dalam makam itu terdapat banyak kain kapan yang tergantung serta terdapat air yang di katakan oleh penduduk di situ dapat memberi kebaikan kepada penggunanya. Kepercayaan ini sudah menjadi adat di tempat itu dimana penduduk disini mengamalkan dan mempercayai akan keajaiban air ini.

Jam sudah menunjukkan semakin waktu solat jumaat. Jadi kami terus bergerak ke sebuah Pesantren yang terbesar di Aceh iaitu Pesantren Mahadal Diniyahul Islamiyyah yang terletak di daerah Samalanga. Pesantren ini berhadapan dengan Sekolah Tinggi Agama Islam Aziziyah. Pesantren ini mengamalkan Thariqat Naqsyabandiyyah secara keseluruhannya. Untuk sampai di sini, perlu lalui pekan Samalanga dan mengambil masa lebih kurang 15 minit dari makam Syuhada 8 tadi. Kami akan solat Jumaat di Pesantren ini bersama-sama. Di sini kami dibantu oleh seorang ustaz yang mengajar di Pesantren ini, dan beliau juga yang akan membawa kami ke makam Tun Seri Lanang selepas solat jumaat. Mengikut sejarah, Pesantren ini merupkan bekas Masjid Samalanga yang dahulunya dibangunkan oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Dibawah masjid Pesantren ini sekarang mempunyai sumber air bawah tanah yang sangat bersih yang merupakan sumber air utama yang digunakan oleh Pesantren ini. Airnya boleh diminum begitu sahaja.

Kemudian, relawan Ibn Battutah meneruskan perjalanan ke makam Tun Seri Lanang di Desa Meunasah Lueng, Samarlanga yang mengambil masa lebih kurang 10 minit sahaja dari Pesantren tadi. Sepanjang perjalanan menuju ke Makam Tun Seri Lanang perlu melalui kawasan penanaman padi. Bersebelahan dengan Makam Tun Seri Lanang terdapat sebuah rumah Aceh dimana terdapat manuskrip serta gambar Tun Seri Lanang memakai pakaian kerabat Di-raja Melayu dan pakaian kerabat Di-raja Aceh. Selain itu, didalam rumah Adat Aceh ini juga terdapat gambar sultanah-sultanah Aceh Darussalam yang pernah memerintah kerajaan Aceh Darussalam pada ketika dahulu. Selesai sahaja meneliti setiap sudut didalam rumah Aceh tersebut, relawan Ibn Battutah pun melawat makam Tun Seri Lanang. Tun Seri Lanang berasal dari Batu Sawar, Kerajaan Johor Lama dan telah diculik oleh tentera Aceh yang pada ketika itu kerajaan Johor lama telah diserang oleh kerajaan Aceh pada pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Tun Seri Lanang telah dilantik menjadi Bendahara Kerajaan Aceh Darussalam pada taun 1627. Bersebelahan dengan Makam Tun Seri Lanang itu terdapat makam anak-anak serta keturunan-keturunannya yang telah dimakamkan berdekatan dengan makam Tun Seri Lanang. Terdapat lebih kurang 10 makam berhampiran dengan makam Tun Seri Lanang itu.
 
Kemudian kami bergerak ke Meureudu yang menjadi tumpuan kami adalah Masjid Beuracan. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja dari makam Tun Seri Lanang. Masjid Beuracan yang terdapat di Kabupaten Pidie Jaya ini dibangunkan pada tahun 1626 Masihi di atas tanah wakaf seluas 40 x 40 meter. Di pelopori pertama kali oleh teungku Abdussalim atau lebih dikenali sebagai Teungku di Pucok Krueng alias Teungku di Pasi. Sang Teungku adalah ulama asal Arab. Beliau membangunkan masjid tersebut sebagai pusat pengajaran agama Islam kepada masyarakat sekitar. Ketika proses pembangunan dilakukan, pada waktu itu adalah di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda.

Menurut warga Beuracan, selain Masjid Beuracan terdapat tiga buah masjid lain yang dibangunkan oleh Teungku Abdussalim dimana masing-masing berada di Meureudu iaitu Masjid Batei dan Masjid madinah. Manakala sebuah lagi Masjid ditubuhkan di Lampoh Saka, Kabupaten Pidie sekarang. Keunikan Masjid Beuracan ini adalah dindingnya merupakan hasil pemugaran yang dilakukan pada tahun 1990. Pada bahagian hadapan pula terdapat ukiran dengan kombinasi pelbagai warna.

Masjid Beuracan ini dibina dengan 16 tiang berukuran 52 sentimeter (cm). Setiap tiang yang ada berbentuk lapan segi. Satu tiang di Masjid ini telah diubahsuai tetapi masih menggunakan bentuk yang sama. Di bahagian luar masjid terdapat sebuah guci unik yang sebahagian daripada guci tersebut telah ditanam dan ditimbun dengan tanah sehingga gucinya hanya di bahagian atasnya sahaja. Sebahagian masyarakat Beuracan menganggap bahawa guci ini memiliki keramat. Menurut penduduk sekitar, guci ini dahulunya tidak ditanam dan kedudukannya sentiasa berubah-ubah dengan sendirinya. Menurut mereka lagi, air yang terdapat didalam guci ini tidak boleh diceduk oleh perempuan kerana air tersebut akan bertukar kepada bau yang tidak menyenangkan (busuk). Objektif guci ini ditanam bukan sahaja hanya disebabkan kedudukannya yang sentiasa berubah-ubah, tapi khuatir jika guci ini dicuri oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab.

Destinasi seterusnya adalah ke daerah Sigli untuk melihat tongkat yang pernah digunakan oleh Sultan Iskandar Muda yang tersimpan di Masjid Labueh, Sigli. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam setengah sahaja dari Masjid Beuracan tadi. Tongkat Sultan Iskandar Muda ini dijaga oleh pakcik Muhammad Yassin Noor yang merupakan penjaga Masjid Labueh ini. Menurut beliau, tongkat ini sudah ada disini sejak zaman penjajahan Belanda lagi. Tongkat ini setinggi lebih dari 4 kaki dan sangat berat. Ia diperbuat daripada tembaga dan bentuknya seperti batang tebu. Terdapat sedikit retakan pada bahagian atas tongkat, mungkin kerana sudah lama. Dokumentari dijalankan.

Bersebelahan dengan Masjid Labueh ini terdapat sebuah masjid lama Labueh yang tidak lagi digunakan dan kubah masjid lama itu bukanlah separuh sfera seperti bentuk kubah sekarang ini. Di sekitar masjid Labueh ini pula terdapat banyak pondok yang dikatakan berfungsi sebagai tempat mengaji Al-Quran. Di sebelah kiri masjid pula terdapat sebuah telaga lama yang tidak digunakan lagi.


Kami meneruskan perjalanan ke Indrapuri. Untuk pergi ke Indrapuri perlu melalui jalan di atas gunung yang berliku-liku. Kami bertolak pada jam 06.30 petang dan meneruskan perjalanan pada waktu malam dan hujan lebat. Kami tiba di Pesantren Ar-Rabwah, Indrapuri pada jam 09.30 malam. Abang Faisal iaitu pengawas Pesantren itu telah membenarkan kami untuk menginap di Pesantren itu sehingga 11 Januari 2013. Menurut Abang Faisal, Pesantren ini adalah hasil sumbangan daripada ulama Arab Saudi selepas Tsunami Disember 2004 yang pada mulanya hanya menempatkan anak-anak yatim, mangsa Tsunami. Tetapi sekarang ini semua mangsa Tsunami itu sudah tiada lagi dan ramai yang sudah berkahwin. Pesantren ini berada tidak jauh dari kaki gunung. Jadi permandangan disini memang begitu cantik dengan bukit bukau. Pesantren ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu di bahagian  bawah adalah asrama pelajar perempuan dan di bahagian atas pula adalah asrama lelaki. Berdekatan dengan Pesantren Ar-Rabwah ini terdapat sebuah lagi Pesantren lain iaitu Pesantren Mariam yang merupakan Pesantren untuk pelajar perempuan sahaja. Menurut pengajar disitu, kebanyakan pelajar di Pesantren Mariam ini adalah orang Jawa. Semasa kami berada di Pesantren Ar-Rabwah ini, pelajar-pelajarnya sedang libur (cuti) dan sebahagian daripada mereka yang berada disini tidak balik ke rumah masing-masing kerana rumah mereka semua terletak agak jauh dari Pesantren Ar-rabwah ini. Pelajar yang tidak pulang ke rumah inilah yang akan menjadi peserta untuk program khidmat pendidikan kami disini. Pengajar di Pesantren ini bukanlah calang-calang orang kerana ada yang belajar di Madinah dan ada juga yang belajar di Turki. 

pertukaran MOU diantara mahasiswa HMI dan sukarelawan Grup Ibn Battutah



penyerahan cenderahati kepada HMI


di rumah Tun Sri Lanang




No comments:

Post a Comment