Tuesday 30 July 2013

LAPORAN AKTIVITI XPDC GRUP IBN BATTUTAH DI MEDAN

28 Disember 2012 (Jumaat)

Mengikut perancangan, sebelum memulakan aktiviti kami pada hari ini iaitu melawat Istana Maimun dan Masjid Raya Al-Mashun, kami terlebih dahulu memutuskan untuk bertemu dengan Pegawai-pegawai Konsulat Malaysia di Medan bagi memaklumkan tujuan kami datang ke Indonesia dan tentatif  perjalanan kami sepanjang berada di Indonesia selama 2 minggu ini. Pertemuan dengan pegawai-pegawai Konsulat Medan mengambil masa selama sejam.

Kemudian kami meneruskan perjalanan menuju ke Istana Maimun.  Istana Maimun ini merupakan salah satu dari ikon kota Medan, Sumatera Utara, yang terletak di Jalan Brigjen Katamso,  Ibukota Medan. Di sini adalah giliran Azhaari untuk membuat dokumentari tentang Istana Maimun ini. Catatan sejarah telah mencatat bahawa Istana Maimun adalah tinggalan kesultanan Deli yang dibina oleh Sultan Deli iaitu Sultan Maimun Al-Rasyid Perkasa Alamsyah pada tahun 1888 yang merupakan keturunan raja ke-9. Istana Maimun memiliki senibina  istana yang mencampurkan adunan senibina Moghul, Timur Tengah, Sepanyol, India, Belanda dan Melayu yang diadunkan oleh arkitek berbangsa Itali, T.H. Van Erp. Istana Maimun ini memiliki keluasan sebesar 2772 meter persegi dan 30 ruangan bilik di dalam istana.

Lokasi seterusnya adalah Masjid Raya Al-Mashun yang terletak hanya 200m sahaja dari Istana Maimun tadi. Selesai sahaja menunaikan solat Jumaat bagi relawan lelaki dan solat Zohor bagi relawan perempuan, kami pun segera melakukan dokumentari. Masjid Raya Al-Mashun merupakan salah satu bangunan bersejarah peninggalan Sultan Deli yang mula dibangunkan pada 21 Ogos 1906 dan selesai pembinaannya pada 10 September 1909 oleh Sultan Maimun Al-Rasyid Perkasa Alamsyah dan masih digunakan sehingga sekarang oleh masyarakat muslim untuk menunaikan solat. Kubah Masjid Al-Mashun ini tidak berbentuk sfera tetapi segi 8 yang mana memiliki 1 kubah besar dibahagian tengah dan 4 kubah kecil di kelilingnya serta di belakang masjid terdapat makam-makam para Sultan Deli. Di dalam ruangan utama masjid  pula terdapat sebuah Kitab Al-Quran besar yang terletak didalam peti kaca.

Tamat sahaja dokumentari kami di sini, kami telah dijemput oleh YDP HMI Cabang Medan iaitu Hendra Hidayat untuk menghadiri forum “Dialog Pluralisme dan Kerukunan Umat Beragama di Mata Mahasiswa” yang dianjurkan oleh HMI Medan yang diadakan di kedai makan Cafe Kita. Dialog ini bermula pada jam 05.00 petang yang mana para panelnya terdiri dari 6 orang wakil yang beragama Islam dan 2 orang wakil dari agama Kristian. Semua panel itu adalah ketua umum dari HMI, HMM, GMKI, GMNI, PMKRI, HIMMAH dan Interfaith. Masing-masing dari mereka menyuarakan pendapat mengenai pluralisme-pluralisme yang telah meresap masuk dalam agama. Forum ini berlangsung selama 2 jam..

dalam perjalanan ke Konsulat Malaysia
sesi pengenalan xpdc grup kepada wakil konsulat Malaysia
bergambar bersama pegawai-pegawai konsulat
di hadapan Masjid Raya Al-Mashun

No comments:

Post a Comment