Tuesday 30 July 2013

LAPORAN AKTIVITI XPDC GRUP IBN BATTUTAH DI MEDAN

29 Disember 2012 (Sabtu)

Hari ini adalah hari kedua kami berada di Medan. Aktiviti pada hari ini adalah ke Toko Buku  Gramedia di Gajah Mada. Berikutan tumpuan kajian kami masing-masing lebih tertumpu di Lhokseumawe dan Banda Aceh, tidak banyak aktiviti yang kami lakukan di sini. Kami bertolak dari Pejabat HMI pada jam 11.50 menaiki dua buah beca mesin yang masing-masing mengenakan caj sebanyak Rp 20,000 (bersamaan lebih kurang RM 6.00). Perjalanan mengambil masa selama sejam.

Tujuan kami pergi ke Toko Buku Gramedia pada hari ini adalah untuk membeli buku-buku yang berkaitan dengan kajian kami dan juga buku-buku yang boleh digunakan oleh Grup tokoh yang lain seperti Hamka, Al-Fateh, Wali Songo dan lain-lain. Kami mengambil masa selama 2 jam untuk mencari buku-buku yang sesuai. Buku-buku ini dibeli dengan menggunakan wang peruntukan yang telah disumbangkan kepada kami iaitu lebih kurang sebanyak Rp 4,000,000 dan di Toko Buku ini kami hanya menggunakan lebih kurang Rp 600,000 sahaja. Terdapat begitu banyak buku-buku yang dijual disini dan semuanya begitu menarik di mata kami. Namun begitu kami cuba untuk kekal fokus dan hanya membeli buku-buku yang berkaitan sahaja. 

LAPORAN AKTIVITI XPDC GRUP IBN BATTUTAH DI MEDAN

28 Disember 2012 (Jumaat)

Mengikut perancangan, sebelum memulakan aktiviti kami pada hari ini iaitu melawat Istana Maimun dan Masjid Raya Al-Mashun, kami terlebih dahulu memutuskan untuk bertemu dengan Pegawai-pegawai Konsulat Malaysia di Medan bagi memaklumkan tujuan kami datang ke Indonesia dan tentatif  perjalanan kami sepanjang berada di Indonesia selama 2 minggu ini. Pertemuan dengan pegawai-pegawai Konsulat Medan mengambil masa selama sejam.

Kemudian kami meneruskan perjalanan menuju ke Istana Maimun.  Istana Maimun ini merupakan salah satu dari ikon kota Medan, Sumatera Utara, yang terletak di Jalan Brigjen Katamso,  Ibukota Medan. Di sini adalah giliran Azhaari untuk membuat dokumentari tentang Istana Maimun ini. Catatan sejarah telah mencatat bahawa Istana Maimun adalah tinggalan kesultanan Deli yang dibina oleh Sultan Deli iaitu Sultan Maimun Al-Rasyid Perkasa Alamsyah pada tahun 1888 yang merupakan keturunan raja ke-9. Istana Maimun memiliki senibina  istana yang mencampurkan adunan senibina Moghul, Timur Tengah, Sepanyol, India, Belanda dan Melayu yang diadunkan oleh arkitek berbangsa Itali, T.H. Van Erp. Istana Maimun ini memiliki keluasan sebesar 2772 meter persegi dan 30 ruangan bilik di dalam istana.

Lokasi seterusnya adalah Masjid Raya Al-Mashun yang terletak hanya 200m sahaja dari Istana Maimun tadi. Selesai sahaja menunaikan solat Jumaat bagi relawan lelaki dan solat Zohor bagi relawan perempuan, kami pun segera melakukan dokumentari. Masjid Raya Al-Mashun merupakan salah satu bangunan bersejarah peninggalan Sultan Deli yang mula dibangunkan pada 21 Ogos 1906 dan selesai pembinaannya pada 10 September 1909 oleh Sultan Maimun Al-Rasyid Perkasa Alamsyah dan masih digunakan sehingga sekarang oleh masyarakat muslim untuk menunaikan solat. Kubah Masjid Al-Mashun ini tidak berbentuk sfera tetapi segi 8 yang mana memiliki 1 kubah besar dibahagian tengah dan 4 kubah kecil di kelilingnya serta di belakang masjid terdapat makam-makam para Sultan Deli. Di dalam ruangan utama masjid  pula terdapat sebuah Kitab Al-Quran besar yang terletak didalam peti kaca.

Tamat sahaja dokumentari kami di sini, kami telah dijemput oleh YDP HMI Cabang Medan iaitu Hendra Hidayat untuk menghadiri forum “Dialog Pluralisme dan Kerukunan Umat Beragama di Mata Mahasiswa” yang dianjurkan oleh HMI Medan yang diadakan di kedai makan Cafe Kita. Dialog ini bermula pada jam 05.00 petang yang mana para panelnya terdiri dari 6 orang wakil yang beragama Islam dan 2 orang wakil dari agama Kristian. Semua panel itu adalah ketua umum dari HMI, HMM, GMKI, GMNI, PMKRI, HIMMAH dan Interfaith. Masing-masing dari mereka menyuarakan pendapat mengenai pluralisme-pluralisme yang telah meresap masuk dalam agama. Forum ini berlangsung selama 2 jam..

dalam perjalanan ke Konsulat Malaysia
sesi pengenalan xpdc grup kepada wakil konsulat Malaysia
bergambar bersama pegawai-pegawai konsulat
di hadapan Masjid Raya Al-Mashun

LAPORAN AKTIVITI XPDC GRUP IBN BATTUTAH DI MEDAN

27 Disember 2012 (Khamis)

“Berikan aku 10 orang pemuda, pasti aku boleh menggoncangkan dunia ini”. Petikan daripada Soekarno yang merupakan perdana Menteri Indonesia pada ketika dahulu. Selari dengan kata-kata ini, 10 relawan yang terdiri daripada 4 orang lelaki dan 6 orang perempuan telah dihantar ke sebuah negeri bersejarah yang dikenali sebagai negeri Serambi Mekah iaitu Aceh bagi tujuan melakukan Khidmat Sosio-Budaya dan Pendidikan. Khidmat Sosio-Budaya dan Pendidikan ini dilakukan dalam usaha menjejak, meneladani dan memimpin sebagaimana yang telah dilakukan oleh tokoh pengembara tersohor iaitu Ibn Battutah.

Hari ini adalah hari di mana bermulalah titik-titik pengembaraan kami sebagai pengembara. Kami bertolak dari Taski ABIM Meru, Klang ke Jeti Tanjung Balai menaiki feri di Pelabuhan Klang. Perjalanan kami mengambil masa selama 4 jam sahaja. Sebaik  sahaja tiba di Jeti Tanjung Balai, kami langsung menunaikan solat dan meneruskan lagi perjalanan ke Medan menaiki sebuah kereta Inova yang disewa dengan harga yang berpatutan iaitu Rp 500,000 (Lebih kurang RM160). Perjalanan dari Jeti Tanjung Balai menuju ke Medan mengambil masa selama 5 jam. Kehadiran kami disambut oleh YDP Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) Cabang Medan, Saudara Hendra Hidayat. Perjalanan seharian yang ditempuhi kami cukup mencabar ketahanan fizikal dan mental kami. Pejabat HMI menjadi tempat penginapan kami selama 3 hari berada di Medan.









  

LAPORAN PENGHANTARAN CENDERAHATI KEPADA PENAJA GRUP


Pada 19 Julai 2013 hari Jumaat yang lalu, 2 orang sukarelawan dari Grup Ibn Battutah yang pernah menyertai Ekspedisi Ibn Battutah pada akhir tahun 2012 dan awal tahun 2013 telah menghantar laporan ekspedisi, surat memohonan maaf dan cenderahati kepada penaja-penaja yang pernah memberi sumbangan kepada grup tersebut. Cenderahati telah dihantar kepada syarikat Mh Multi Touch Resource dan Farmasi Kuala Selangor di Kuala Selangor, Selangor. Manakala cenderahati penaja-penaja yang lain seperti Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman dari Negeri Sembilan, En. Syed Nurulakla iaitu pensyarah dari UPM dan Syarikat Aras Mega (M) Sdn . Bhd telah dihantar melalui pos kerana masa yang terhad dan tempat yang jauh. Terima kasih sekali lagi ucapkan kepada penaja kerana sudi menaja kami.